Nur Atirah

 Banner

Wednesday, 28 August 2013

Nasib 3 bintang

Assalamualaikum .
Apa Khabar !


Nasib 3 bintang

April lalu, penganjur Konsert Jelajah 3 Permata yang menampilkan penyanyi Adibah Noor, Jaclyn Victor dan Misha Omar mengumumkan pada sidang media kononnya tiga pemilik vokal hebat itu bakal berkongsi pentas menghiburkan peminat di enam lokasi di seluruh negara dalam siri konsert hebat.

Tanpa membayar sesenpun wang pendahuluan kepada artis terbabit untuk muncul di sidang media mengumumkan konsert itu bakal berlangsung, penganjur, Dangerous Events didakwa mula buat perangai apabila tidak menjawab panggilan, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan e-mel yang dihantar wakil pengurusan artis yang mahu mendapatkan butiran konsert terbabit termasuk menyelesaikan urusan kontrak. 
Pihak pengurusan Adibah, Jaclyn dan Misha mula syak sesuatu yang tidak kena apabila selepas tiga minggu sidang media itu diadakan, penganjur Konsert Jelajah 3 Permata dilihat membisu sedangkan banyak perancangan perlu dibuat bagi menjayakan persembahan itu. 


Mengikut perancangan, konsert jelajah itu akan diadakan di enam lokasi bermula dengan Sarawak pada 21 September; Sabah (28 September), Johor (12 Oktober), Pahang (19 Oktober), Kedah (26 Oktober) dan Kuala Lumpur (November depan).

Konsert menampilkan Adibah, Jaclyn dan Misha itu diilhamkan selepas kejayaan konsert menggabungkan mereka yang diadakan di Esplanade, Singapura, akhir tahun lalu.

Eksekutif Pengurusan Bakat 8 Unit, Zalekha Mohd Wakil memberitahu HIP, pihaknya menghadapi kesukaran untuk berhubung dengan wakil syarikat Dangerous Events selepas sidang media pertama, April lalu. Katanya, tiga minggu selepas sidang media diadakan, penganjur tidak menjawab panggilan, SMS dan kiriman e-mel.

Dari awal lagi kami menghadapi kesukaran untuk berhubung dengan penganjur. Saya dan pihak pengurusan Misha serta Adibah masing-masing cuba menghubungi penganjur tetapi tiada maklum balas. 
Kami mula syak apabila mereka enggan membayar wang pendahuluan sedangkan kami disuruh menjayakan sesi fotografi bagi mempromosikan konsert itu. Pada dasarnya, sebaik sidang media diadakan, penganjur harus membayar sebahagian wang kepada penyanyi. Tetapi kami tidak berkira, sebaliknya masih bersetuju menjayakan sidang media walaupun belum menerima apa-apa bayaran.

Bagaimanapun bila diminta membuat sesi fotografi, kami terpaksa menolak kerana ia melanggar tata kerja kami, katanya.

Zalekha berkata, pihaknya makin bimbang apabila mendapat tahu ahli muzik yang sepatutnya terbabit dalam konsert terbabit sudah dilepaskan penganjur.

Selepas itu, barulah kami diberitahu yang konsert itu ditangguhkan. Gara-gara konsert yang tidak ada hitam putih, kami menanggung kerugian kerana terpaksa menolak banyak undangan persembahan, katanya.

Bagaimanapun, Zalekha berkata, penganjur ada memberi maklum balas ketika ditanya mengenai kontrak.

Namun mereka hanya mengeluarkan surat perjanjian secara tidak rasmi dengan menghantarnya menerusi e-mel, katanya.

Artis tidak tahu

Jaclyn yang dihubungi HIP tidak dapat mengesahkan sama ada Konsert Jelajah 3 Permata yang sepatutnya dijayakan ditangguh atau dibatalkan.

Jika konsert itu batal, Jaclyn mengaku kecewa kerana hasrat bekerjasama dengan Misha dan Adibah tidak kesampaian.

Saya rasa rugi jika konsert ini dibatalkan. Ini kerana sambutan yang diterima daripada peminat di Singapura sungguh memberangsangkan.

Saya masih tidak dapat melupakan keseronokan sewaktu menjayakan konsert ini, tahun lalu. Jadi apabila mendapat tahu ia ditangguhkan, tentulah saya kecewa kerana konsert ini menampilkan gabungan yang mantap, katanya.

Penganjur dakwa tak lari

Wakil Dangerous Events, Mohd Faizul Zakaria nafi melarikan diri sebaliknya mendakwa berdiam kerana enggan itu diperbesarkan hingga menimbulkan kekeliruan pelbagai pihak.

Mohd Faizul berkata, dia enggan memperbesarkan berita penangguhan Konsert Jelajah 3 Permata kerana mahu pihak media menghubunginya sendiri bagi mendapatkan kesahihan berita berkenaan.

Selain itu, konsert dijayakan band antarabangsa Linkin Park, Metallica dan CN Blue, baru-baru ini dikatakan punca yang menyebabkan Konsert Jelajah 3 Permata terpaksa ditangguhkan.

Beberapa acara besar termasuk Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) menjadi antara faktor yang menyebabkan konsert itu ditangguhkan. Setakat ini, kami tidak berani memberi jaminan mengenai tarikh baru.

Apa yang pasti, ia tidak akan diadakan tahun ini supaya perancangan lebih teliti dilakukan, katanya.

Mohd Faizul berkata, pihaknya sedang menimbang apakah konsert itu wajar diadakan di enam lokasi seperti yang dihebahkan.

Jika tidak berbaloi, kita akan adakan di Kuala Lumpur saja. Daripada maklum balas yang kami terima selepas pengumuman konsert ini April lalu, sambutan untuk lokasi di luar Kuala Lumpur sedikit hambar, katanya yang menafikan tidak memaklumkan penangguhan konsert ini kepada artis yang terbabit.

Sebaliknya, Mohd Faizul mengakui berhubung dengan pengurusan ketiga-tiga artis terbabit melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) memaklumkan penangguhan konsert itu.

Jari Menaip ,
Nur Atirah .

No comments:

 Banner
COPY RIGHT RESERVED 2013 . FULL EDITED BY NUR ATIRAH