Demikian ditegaskan Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin mengulas empat gadis Islam yang terpilih sebagai peserta peringkat akhir pertandingan Miss Malaysia World 2013.
“Perkara itu sudah jelas haram dan berdosa jadi tidak perlu dilakukan kerana membabitkan soal maruah agama, masyarakat dan individu itu sendiri.
Maruah individu
“Haram tetap haram, tanggungjawab menjaga maruah agama Islam itu terletak di atas bahu setiap umatnya, jika sudah terang ia bertentangan dengan hukum agama mengapa perlu bangga melakukannya.
“Walaupun pilihan itu adalah hak individu, ia ada kaitan dengan maruah individu, masyarakat dan agama Islam itu sendiri,” katanya kepada BH, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penyertaan empat gadis Islam sebagai peserta peringkat akhir pertandingan Miss Malaysia World 2013 yang akan berlangsung di sebuah hotel di ibu negara pada 2 Ogos ini.
Pemilihan dibuat dalam satu sesi temu duga tertutup pada 12 Julai lalu dan majlis memperkenalkan mereka diadakan baru-baru ini.
“Jika mereka sudah tahu mengenai fatwa yang mengharamkannya, ia dianggap perkara besar dan merbahaya kerana membabitkan akidah seseorang individu itu,” katanya.
Fatwa yang dikeluarkan mengikut Seksyen 34 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 melarang orang Islam menyertai pertandingan ratu cantik.
Jari Menaip ,
Nur Atirah .
No comments:
Post a Comment