Nur Atirah

 Banner

Sunday 8 September 2013

Demi Anak .

Assalamualaikum .
Apa Khabar !

Penan people Cerita seorang doktor di pedalaman....
Saya ingin kongsikan secebis kisah seorang tokoh yang hebat dan berdedikasi yang telah banyak berkorban menyumbang kepada masyarakat pedalaman sebelum beliau kemudiannya mencipta nama di bidang perubatan di peringkat nasional dan internasional.
Dr MZ telah memulakan kerjayanya sebagai seorang pegawai perubatan yang bekerja di Kor Perubatan ATM sejak lebih 20 tahun yang lalu. Beliau telah ditugaskan untuk berkhidmat di pelbagai kem tentera dan pusat kesihatan ATM termasuklah di kawasan pedalaman Sarawak. Beliau telah menerima amanah ini dan menyempurnakannya dengan penuh tanggung-jawab demi memberikah khidmat terbaik kepada mereka yang memerlukan tanpa mengira latar belakang agama, keluarga dan etnik mereka.
Pernah sekali, Dr MZ ditugaskan untuk mengendalikan klinik bergerak di kawasan pedalaman Sarawak. Beliau bersama kakitangannya telah bergerak ke kawasan pedalaman tersebut dengan menaiki sebuah trak ATM yang telah dilengkapi peralatan perubatan dan ubat-ubatan yang diperlukan untuk sebuah klinik bergerak ATM.
Beliau bersama kakitangan ATM yang membantunya telah meredah kepayahan dan merasai pelbagai keperitan untuk menyiapkan klinik bergerak tersebut. Dalam tempoh seminggu, mereka telah memeriksa dan merawat ramai pesakit dengan pelbagai jenis penyakit di kalangan masyarakat pedalaman Sarawak dengan penuh dedikasi tanpa mengeluh sedikit pun. Misi yang mencabar selama 7 hari tersebut sebenarnya sangat bermakna kepada masyarakat yang memerlukan khidmat mereka.
Pada hari terakhir, mereka kemudiannya mengambil masa kira-kira 3-4 jam untuk mengemaskan semula barang-barang peralatan dan kelengkapan klinik bergerak tersebut.
Tiba-tiba datang sepasang suami isteri daripada etnik orang Penan membawa seorang anak mereka yang sakit untuk menerima rawatan perubatan. Staf yang membantu Dr MZ berkata bahawa mereka tidak dapat memberikan bantuan kerana klinik bergerak ini telah ditutup dan mungkin akan mengambil masa beberapa jam untuk berkemas semula sekiranya pemeriksaan dan rawatan diberikan kepada anak mereka.
Pasangan orang Penan ini berkata bahawa mereka telah berjalan selama 5 hari dan 5 malam daripada kawasan yang lebih pedalaman untuk mendapatkan rawatan anak mereka ini setelah mengetahui kewujudan klinik bergerak ini.
Mendengar perbuatan ini, Dr MZ memerintahkan kakitangannya untuk membuka semula klinik bergerak ini bagi membuat pemeriksaan dan memberikan rawatan yang sewajarnya kepada anak pasangan orang Penan ini.
Pengajaran dari kisah Dr MZ :
1-Kalau kita merasa susah, mungkin lebih ramai orang lain yang hidupnya lebih susah dan perit daripada kita.
2-Kita mungkin merasa berpuas hati dengan serba sedikit sumbangan kita kepada masyarakat. Namun masih ramai yang belum lagi menerima kemudahan asas seumpama akses kepada perkhidmatan perubatan.
3-Kita mungkin merasa cukup dengan pengorbana yang telah kita berikan kepada seseorang atau masyarakat awam tetapi di sana lebih ramai orang yang telah berkorban di tahap yang lebih tinggi.
Apalah susahnya mengemas peralatan perubatan selama 3-4 jam di tengah hutan Sarawak jika dibandingkan dengan ibu-bapa yang mendokong anaknya yang sakit dalam perjalanan meredahi sungai dan hutan belantara di pedalaman yang mengambil masa selama 5 hari dan 5 malam.
Tatapi dan hayatilah ayat ini,
“Maka Nikmat Tuhanmu Yang Manakah Yang Kamu Dustakan?”

Jari Menaip ,
Nur Atirah .

1 comment:

nora razalli said...

1-Kalau kita merasa susah, mungkin lebih ramai orang lain yang hidupnya lebih susah dan perit daripada kita.

setuju dgn ni tp ..susah nk bgtau kpla supya berfikir mcm ni ...huhu :(

 Banner
COPY RIGHT RESERVED 2013 . FULL EDITED BY NUR ATIRAH