Nur Atirah

 Banner

Sunday 8 September 2013

Dilema pengusaha stesen minyak Petron Malaysia

Assalamualaikum .
Apa Khabar !

Dilema pengusaha stesen minyak Petron Malaysia

KUALA LUMPUR - Kira-kira 600 ahli pengusaha stesen minyak Petron Malaysia Refining & Marketing Bhd (Petron Malaysia) kini dalam dilema apabila mendakwa terpaksa menanggung caj tambahan yang dikenakan syarikat minyak, ketika memperbaharui lesen untuk memperoleh bekalan bahan api itu.

Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Datuk Hashim Othman berkata, pihaknya menerima aduan daripada pengusaha stesen minyak itu yang tidak bersetuju dengan caj tambahan yang dikenakan, kerana tidak mendapat persetujuan dalam kalangan pengusaha dan kebenaran kerajaan.

Menurutnya, berikutan syarat telah ditetapkan, sebarang caj tambahan yang dikenakan sepatutnya perlu mendapat kelulusan kerajaan.

“Terdapat dua kes, di mana pengusaha stesen minyak dikenakan caj tambahan dan terpaksa tandatangan perjanjian untuk elak bekalan minyak dihentikan merujuk surat yang dihantar oleh pihak syarikat minyak.

“Caj tambahan itu dikenakan mengikut jumlah jualan setiap minyak dan ia tidak munasabah dan membebankan pengusaha,” katanya dalam satu sidang media.

Menurutnya, walaupun masalah itu belum melibatkan pengusaha stesen minyak secara keseluruhan, ia perlu diatasi segera kerana ramai yang bakal perbaharui lesen.

Beliau minta kerajaan campur tangan bagi memastikan pihak syarikat tidak mengambil kesempatan mengenakan caj tambahan, tanpa kebenaran dan melalui perbincangan.

“Ini perlu untuk memastikan perjalanan peruncitan petroleum untuk orang ramai tak terganggu,” katanya.

Sementara itu, Pengusaha Stesen Minyak Jalan Ipoh-Rawang, Sani Hamid berkata, dia menerima dua notis dari Petron Malaysia kerana enggan bersetuju dengan polisi caj tambahan ketika perbaharui lesen.

Dia diberi tempoh sehingga 30 Oktober ini untuk perbaharui lesen dan  menandatangani perjanjian baru termasuk caj tambahan itu termasuk kenaikan sewa pengangkutan.

“Jika sebelum ini saya mengambil bekalan minyak daripada Petron Malaysia sebanyak 500,000 liter sebulan dan sewa pengangkutan yang dikenakan RM17,000 tetapi apabila mahu menambah jumlah bekalan kepada 700,000 liter sebulan, mereka juga menaikkan kadar sewa pengangkutan tersebut kepada RM24,000.

“Disebabkan kenaikan sewa pengangkutan itu, margin keuntungan kita akan rendah. Apa guna kita naikkan jumlah bekalan sekiranya kita tidak memperoleh keuntungan,” katanya.

Jari Menaip ,
Nur Atirah .

No comments:

 Banner
COPY RIGHT RESERVED 2013 . FULL EDITED BY NUR ATIRAH