Azilah, 37, yang ditemui Bernama sebelum hakim membuat keputusan sempat menyatakan bahawa walaupun fizikalnya tidak berubah sejak didakwa atas pertuduhan itu, namun jiwanya terlalu 'kecil' dan amat berharap akan berada di rumah.
Koperal Sirul Azhar Umar, yang dituduh bersama-samanya, pula sempat menyatakan "Terima Kasih Yang Arif" sebelum kedua-duanya dibawa keluar dari kandang tertuduh.
Azilah berkata beliau amat bersyukur kerana Allah SWT memperkenankan doanya dan berkata dengan nada suara gementar: "Saya masih lagi berdebar-debar".
"Saya perlu kembali ke Penjara Kajang untuk mengucapkan terima kasih kepada mereka yang bertugas menjaga saya di sana...mereka menjaga saya dengan baik, saya ingin menunaikan solat Jumaat dan urusan lain akan dibuat selepas itu," katanya.
Pada 2009, Mahkamah Tinggi Shah Alam mensabit kesalahan dan menjatuhi hukuman mati terhadap Azilah dan Sirul Azhar yang merupakan anggota Unit Tindakan Khas (UTK) atas tuduhan membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja, Shah Alam antara 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi, 20 Oktober 2006.
Tunang Azilah, Nor Azila Baharuddin, 35, pula dilihat mengalirkan air mata apabila mendengar keputusan itu.
Beliau menyatakan doanya dan anggota keluarga supaya Azilah dibebaskan telah dimakbulkan Allah SWT.
Katanya sejak mereka bertunang pada 2006, beliau tidak pernah berputus asa dan sering melawat Azilah di penjara seminggu sekali.
"Saya gementar selepas keputusan dibuat, saya seperti tidak percaya. Saya amat gembira kerana inilah saat yang saya tunggu sekian lama. Syawal kali ini amat indah," katanya.
Sejak didakwa pada 2006 dan melalui proses perbicaraan, Azilah dan Sirul Azhar sentiasa menutup wajah mereka ketika berada di luar mahkamah dan kain yang menutup muka hanya dibuka selepas berada di dalam mahkamah.
Pada kebiasaannya, wajah Sirul Azhar kelihatan serius dan lebih banyak menyendiri berbanding Azilah yang ramah dengan mereka yang berada sekelilingnya.
Namun, selepas keputusan mahkamah itu, Sirul Azhar mempamerkan wajah berbeza dengan melemparkan senyuman ke arah anggota keluarganya yang berada di belakangnya.
Ketika ditanya pemberita Bernama sebelum beliau dan Azilah dibawa semula ke penjara untuk proses pembebasan, Sirul Azhar menunjukkan keramahannya sambil menyatakan kesyukuran.
"Bersyukur kepada Allah, semuanya telah selesai. Saya berterima kasih kepada barisan peguam yang membela saya dan ahli keluarga terutama ibu saya yang tidak putus mendoakan. Terima kasih kepada pihak penjara yang menjaga saya dengan baik. Saya berhasrat menjalani kehidupan seperti biasa selepas ini," katanya.
Anak lelaki Sirul Azhar yang berusia 13 tahun, turut kelihatan amat gembira dengan pembebasan ayahnya dan dia yang diiringi dua anggota keluarga terdekat sempat menyatakan amat merindui bapanya.
Bapa saudara Sirul Azhar, Mustapha Samat dari Ipoh berkata sejak Sirul Azhar didakwa, beliau hanya sempat hadir ke mahkamah sebanyak tiga kali dan tidak putus-putus berdoa supaya dia dibebaskan.
Mustapha yang tiba di Kuala Lumpur semalam dilihat menghubungi anggota keluarga untuk memberitahu keputusan mahkamah itu
Jari Menaip ,
Nur Atirah .
No comments:
Post a Comment