Nur Atirah

 Banner

Friday, 23 August 2013

'Tolong cari ibu, tolong cari ayah saya',

Assalamualaikum .
Apa Khabar


KUALA LUMPUR - "Tolong cari ibu saya, tolong cari ayah saya, saya mahukan mereka... tolonglah...," rintihan itu membuatkan hati Staff Muda Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Hazwan Abdul Ghani tersentuh ketika menyelamatkan mangsa nahas bas di Genting Highlands semalam.
   
Remaja lelaki warga Bangladesh berusia 14 tahun itu merupakan mangsa pertama diselamatkan Hazwan, 24, dalam tragedi yang meragut 37 nyawa dan menyebabkan 16 lagi cedera.
   
Hazwan merupakan individu pertama turun dengan tali bagi menyelamatkan mangsa dengan dibantu seorang rakan selepas diarahkan ke tempat kejadian pada 2.30 petang.
   
Dalam perjalanan ke lokasi, Hazwan membayangkan kemalangan itu hanya membabitkan bas terbalik sama seperti kemalangan dua tahun lepas namun sangkaannya jauh tersasar sebaik melihat bas itu di dalam gaung sedalam 60 meter.
   
"Apabila meninjau ke bawah, saya tergamam seketika kerana hanya terlihat badan bas yang tersangkut di sebuah bongkah batu besar...Sebelum terlihat mangsa, saya dapat melihat satu mayat tersangkut antara batu dalam keadaan ngeri.

"Lebih sayu apabila melihat keadaan pemandu bas yang kakinya masih tersangkut di pedal kerana tersepit manakala badannya patah dua seperti huruf 'L' manakala kepalanya penuh darah," katanya.
   
Memikirkan pemandu bas tidak mempunyai harapan untuk diselamatkan, Hazwan bergegas ke arah remaja Bangladesh yang dalam keadaan trauma dan ketika itu, beliau ternampak seorang wanita berusia 20-an yang juga cedera namun kelihatan tenang.
   
"Dia macam faham dan meminta saya menyelamatkan remaja berkenaan dahulu dan saya berjanji akan menyelamatkannya selepas itu," katanya.
   
Selepas itu, beliau terdengar suara lelaki sayup-sayup meminta tolong yang kemudian ditemui di dalam bas di bawah timbunan tiga mayat.
   
Operasi menyelamat mangsa yang masih hidup tamat pada pukul 7 malam bagi memberi laluan operasi mencari mayat.
   
Meskipun sudah empat tahun menjadi anggota penyelamat JPAM, nahas semalam merupakan antara yang terburuk pernah dilihat dan meninggalkan kesan kepada diri Hazwan.
   
"Sebelum ini, saya dan rakan ada berbual, sudah lama tidak terlibat dengan tragedi besar sejak dua tahun lepas, namun tidak sangka pula tragedi dahsyat berlaku semalam," katanya. - Bernama

Jari Menaip ,
Nur Atirah .

No comments:

 Banner
COPY RIGHT RESERVED 2013 . FULL EDITED BY NUR ATIRAH