Nur Atirah

 Banner

Friday 23 August 2013

Nahas bas di Genting: Pemandu ceria sebelum kemalangan

Assalamualaikum .
Apa Khabar !

KUALA LUMPUR: Ong Cheng Hoe tidak pernah menyangka bahawa perbualan mesra dengan iparnya, pemandu bas Lim Kok Hoe, melalui telefon semalam, adalah yang terakhir antara mereka. 

Dalam perbualan itu, mereka saling berjenaka dan Lim memintanya membeli sepasang kaca mata gelap. 

"Kami berbual melalui telefon pada kira-kira 1 tengah hari semalam. Kata Lim dia memerlukan cermin mata baharu dan meminta saya membeli untuknya. Dia juga mengingatkan saya supaya tidak membeli
yang terlalu mahal. 


"Jadi, saya beli dua pasang cermin mata gelap yang serupa... RM300 sepasang. Satu untuk dia dan satu untuk saya," kata Ong ketika ditemui di luar rumah mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini hari ini. 

Bagaimanapun, Lim, 44, tidak sempat memakai cermin mata itu kerana terbunuh apabila bas yang dipandunya terjunam ke dalam gaung di Genting Highlands petang semalam. 

Seramai 36 penumpang turut terbunuh dalam kemalangan yang berlaku ketika bas berkenaan menuju ke Kuala Lumpur dari pusat peranginan itu. 

Kemalangan di KM3.5 Jalan Genting Highlands itu juga menyebabkan 16 penumpang cedera, termasuk sembilan warga asing. 
Ong tiba di rumah mayat HKL pada 9 pagi bersama anggota keluarganya bagi menuntut mayat Lim. 

Ibu dan adik-beradik perempuan mangsa menangis sejurus tiba di situ kerana tidak dapat menahan kesedihan. 

Ong, yang cuba mengawal kesedihannya, berkata Lim, yang berasal dari Johor, bekerja dengan syarikat bas berkenaan belum sampai tiga bulan. 

Sebelum ini, dia bekerja selama enam tahun di Singapura sebagai pemandu bas yang membuat perjalanan antara republik itu dan Johor. 

"Dia pernah bersungut tentang kehidupan yang sentiasa sibuk di sana dan mengambil keputusan untuk pulang. Lagipun, dia mendapat gaji lebih tinggi di sini," katanya. 

Ong menyifatkan iparnya yang menduda itu sebagai lelaki yang amat berdisiplin serta pemandu berpengalaman. 

Kata Ong Lim tinggal bersama keluarganya di Pandan Indah dan selalunya menggunakan perkhidmatan LRT untuk ke terminal perkhidmatan bas berkenaan di Titiwangsa. 

Ong berkata keluarganya hanya mendapat tahu tentang kemalangan itu melalui berita televisyen pada kira-kira 5.30 petang semalam dan selepas itu dia segera ke Titiwangsa untuk mendapatkan khabar tentang Lim. 

"Kami diberitahu syarikat berkenaan bahawa bas terbabit dipandu Lim semalam," katanya. 

Sementara itu, ibu Lim, Chow Bee Hua, 70-an, berkata dia amat sedih apabila menerima berita itu. 

Katanya Lim mungkin mengalami pendarahan dalaman kerana hanya terdapat sedikit luka di muka, kaki dan kepalanya. 

Mayat Lim akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Batu Pahat untuk dikebumikan. Mangsa meninggalkan seorang anak lelaki berusia 19 tahun dan seorang anak perempuan berusia 15 tahun. - BERNAMA 

Jari Menaip ,
Nur Atirah .

1 comment:

Nour Adieb said...

br je td terbaca yg kononnya pemandu bas mrah dgn pemandu teksi yg memotong bas tu sblm eksiden. hmmm, ntahlah

 Banner
COPY RIGHT RESERVED 2013 . FULL EDITED BY NUR ATIRAH